Pelbagai spesies
ketam nipah iaitu Scylla sp dijumpai meluas
di kawasan hutan bakau di mana habitatnya meliputi kawasan berlumpur zon pasang
surut. Ianya merangkum sebahagian kecil perikanan di persisiran pantai.
Kebanyakan
nelayan tempatan menggunakan bubu ketam untuk menangkap spesies ketam ini dan
spesies ini berpotensi sebagai komoditi perikanan disebabkan kualiti.
Semenjak ternakan
udang harimau diserang pelbagai wabak penyakit dan hampir melumpuhkan industri
tersebut, ternakan ketam nipah boleh dikatakan memberi satu kegiatan akuakultur
yang dianggap mempunyai potensi yang memberangsangkan di masa ini. Ketam nipah
dari spesis Scylla serrata adalah
jenis yang dianggap sesuai diternak disebabkan isinya yang padat, sedap dan
rasa yang enak. Ketam jenis ini adalah spesies yang penting dan mempunyai
permintaan yang meluas di seluruh negara Indo-Pasifik. Harga ketam nipah adalah
tinggi bergantung kepada saiznya, sebagai contohnya ketam nipah yang ada telur
berharga antara RM30-RM40 seekor. Di Malaysia, industri ketam nipah dijalankan
secara kecil-kecilan oleh kaum nelayan.
Secara
ekologinya, kitar hidup ketam nipah bermula di kawasan paya hutan bakau dan
ketika ketam nipah hendak bertelur, ianya akan berenang ke laut dan melepaskan
seluruh telurnya. Induk ketam yang sihat boleh menghasilkan 3 juta telur. Apabila telur menetas, peringkat anak larva iaitu zoea akan
mengambil masa 30 hari menjadi anak ketam dan kembali ke habitat
asalnya iaitu di kawasan paya hutan
bakau.
Di Malaysia,
ternakan ketam nipah bermula dengan ternakan anak ketam nipah yang ditangkap di
kawasan paya bakau dan di pelihara sehingga membesar ke saiz yang sesuai untuk
dijual. Penangkapan anak ketam nipah
secara berleluasa akan mengakibatkan populasi ketam nipah berkurangan. Oleh
yang demikian, Pusat Kajian Samudera dan Pantai sedang menjalani kajian
penghasilan benih ketam nipah sebagai usaha menjamin bekalan anak ketam dapat
menampung untuk keperluan industri ternakan ketam nipah di masa akan
datang. Di samping itu, populasi ketam nipah di kawasan asalnya terpelihara dan
tidak pupus di masa akan datang.
Telur Ketam |
Induk ketam yang sihat |
-USM We Lead-
0 comments:
Post a Comment